Motivasi diri

Jumaat, 25 September 2015

Pengenalan Simpan Kira dan Perakaunan serta Konsep.

Simpan Kira
Satu sistem merekod semua urusniaga perniagaan yang melibatkan wang dengan tepat dan sistematik berdasarkan sistem catatan bergu. 

Perakaunan
Satu proses penyediaan maklumat tentang kedudukan kewangan dan hasil kendalian sesebuah entiti untuk membantu pihak-pihak yang berkepentingan membuat keputusan. Proses dalam perakaunan melibatkan aktiviti mengenalpasti, mengukur, merekod, mengklasifikasi, meringkas, mengumpul, melaporkan dan  menganalisis bertujuan merancang dan mengawal aktiviti perniagaan.

Pengguna-pengguna maklumat kewangan
Pengguna dalaman iaitu pemilik perniaagan dan pihak pengurusan perniagaan.
Pengguna luaran iaitu pemiutang, pihak peminjam, bakal pelabur, kerajaan (Jabatan Hasil Dalam Negeri) dan pihak bank.

Konsep dan Prinsip Perakaunan.

  • Entiti berasingan
    • Setiap perniagaan hendaklah diakaunkan secara berasingan dan terpisah dari pemiliknya dan dari entity-entiti yang lain.
    • Modal yang dilabur oleh pemilik ke dalam perniagaanya dianggap sebagai pinjaman pemilik kepada perniagaannya. Oleh itu, pemilik dianggap sebagai pemiutang pemiutang kepada perniagaan. 

  • Badan Berterusan
    • Sesebuah perniagaan akan terus beroperasi pada masa-masa akan datang, dan tidak mempunyai rancangan untuk dibubarkan.
    • Perniagaan tidak perlu melaporkan aset pada nilai pembubarannya kerana perniagaan dijangka tidak akan dibubarkan dalam jangka pendek.
    • Perniagaan di anggap mempunyai hayat yang berterusan.

  • Wang sebagai unit ukuran
    • Semua keputusan kewangan sesebuah entiti akan diukur dalam unit kewangan. Nilai ringgit dan sen diandaikan sentiasa dalam keadaan yang stabil.

  • Ketekalan
    • Penggunaan prinsip/kaedah perakaunan tidak akan diubah dari satu tempoh ke satu tempoh yang lain. Andaian ini bertujuan agar prestasi operasi dan kedudukan kewangan perniagaan boleh dibandingkan antara satu tempoh dengan satu tempoh yang lain.  
    • Selain itu, kaedah merekod perakaunan yang sama mesti diamalkan untuk mengelakkan kekeliruan atau pemesongan dalam laporan kewangan.

  • Tempoh perakaunan
    • Aktiviti perniagaan boleh dibahagikan kepada tempoh-tempoh tertentu contohnya seperti sebulan, suku tahun atau setahun. Andaian ini membolehkan pengguna-pengguna penyata kewangan mengetahui prestasi operasi perniagaan dan kedudukan kewangan perniagaan sekurang-kurangnya sekali setahun.
    • Tempoh perakaunan sesuatu perniagaan bergantung kepada saiz dan jenis perniagaannya.

  • Kos sejarah
    • Merekod semua unsur dalam penyata kewangan pada nilai kos.
    • Urusniaga belian aset direkod berdasarkan kos belian pada tarikh belian tersebut walaupun nilai pasaran atau nilai semasa aset telah berubah.
    • Konsep ini diaplikasikan semasa merekod aset, liability dan ekuiti pemilik dalam penyata kedudukan kewangan.

  • Catatan bergu
    • Satu sistem merekod setiap urusniaga dalam dua akaun yang berasingan di sebelah yang bertentangan. Satu akaun didebitkan dan satu lagi akaun dikreditkan dengan amaun yang sama.
    • Sistem ini dapat menentukan ketepatan proses merekod dengan meyediakan satu Imbangan Duga dari semasa ke semasa.
Kekangan-kekangan  Perakaunan.

  • Kekangan konservatif iaitu megelak daripada terlebih nyatakan aset dan liability dan mengurangkan  perbelanjaan.
  • Kekangan kematerialan iaitu kepentingan sesuatu item yang direkod mempengaruhi laporan kewangan. Item-item yang tidak material akan dilaporkan pada akaun berasingan. Kebiasaannya item-item yang mempunyai nilai yang kecil akan di rekod dalam akaun belanja, bukan akaun aset.
  • Kekangan Faedah-kos  merujuk kepada kos penyediaan maklumat hendaklah tidak melebihi daripada nilai maklumat tersebut kepada pengguna-pengguna penyata kewangan.

Sejarah Perakaunan


Pada tahun 3500 S.M rekod perakaunan yang paling awal telah ditemui di Babylonia di mana terdapat beberapa kepingan tanah liat (clay tablets) di gunakan untuk menyimpan rekod. Kaedah penyimpanan rekod seterusnya diperbaiki dengan penemuan kertas (papyrus) dan (calamus) di Mesir pada tahun 400 S.M. Pada abad ke-5 dan ke-6 S.M., urusniaga direkod berasaskan wang. Sistem penyimpanan rekod di perkembangkan apabila sistem angka Roman diganti dengan sistem angka Hindu-Arab pada tahun 850 S.M.




PERMULAAN CATATAN BERGU 
  • Sistem catatan bergu dipercayai bermula di Itali pada abad ke-14 selaras dengan perkembangan perdagangan.
  • Pada tahun 1494, Luca Pacioli, seorang ahli matematik dan rahib Francisca berbangsa Itali, telah menerbitkan buku matematik beliau berjudul Summa de Arithmetica geometrica Propotionalita di Vanice. Dalam buku itu terkandung satu bahagian penting tentang sistem simpan kira secara catatan bergu. Buku ini merupakan buku perakaunan pertama yang pernah diterbitkan.
  • Simpan kira yang berasaskan catatan bergu dikenali sebagai Kaedah Vanice. 
  • Sejak pengenalan catatan bergu, sistem ini merupakan asas rekod perakaunan bagi semua bentuk organisasi dan saiz perniagaan sehinggalah ke hari ini. Luca Pacioli merupakan perintis dalam bidang perakaunan dan digelar 'Bapa Perakaunan'.

PERKEMBANGAN SISTEM PERAKAUNAN

  • Pada pertengahan abad ke-18, revolusi perindustrian di England memperkembangkan perdagangan dan memajukan simpan kira.
  • Permintaan yang meningkat menggalakkan pengeluaran secara besar-besaran di kilang. Perakaunan kos dibentuk untuk menganalisis pelbagai kos yang terlibat dalam pengeluaran secara besar-besaran.
  • Kemajuan dalam bidang simpan kira diperkembangkan dengan pembentukan syarikat. Pihak pengurusan syarikat perlu membentangkan laporan perakaunan kepada pemegang saham yang merupakan pemilik syarikat. Laporan perakaunan dalam bentuk Penyata Kewangan Tahunan perlu disediakan berdasarkan piawaian perakaunan yang minimum. Dengan ini, wujudlah perakaunan kewangan.
  • Pada abad ke-20, perkembangan pesat dalam organisasi perniagaan mewujudkan perakaunan pengurusan. Maklumat-maklumat perakaunan digunakan oleh pihak pengurusan untuk membuat keputusan perniagaan dan mengurus perniagaannya dengan lebih cekap. 
  • Sejak tahun 1990, bidang perakaunan telah mencapai taraf profesional. Badan Perakaunan Profesional ditubuhkan untuk menentukan taraf minimum bagi kelayakan profesional dan membentuk kod etika profesional perakaunan serta memastikan kod ini dipatuhi oleh semua akauntan.
  • Di Malaysia, Malaysian Institute of Accountants (MIA) mengawal dan memperkenalkan profesion perakaunan dan bertindak sebagai pendaftar akauntan.
  • Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (Malaysian Institute of Certified Public Accountants - MICPA) bertujuan untuk memajukan profesion perakaunan di Malaysia dengan memberi latihan dan peperiksaan.

PENGENALAN KEPADA MASB (Malaysian Accounting Standard Board)

  • Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia atau Malaysian Accounting Standard Board (MASB) telah ditubuhkan pada tahun 1997 di bawah Akta Pelaporan Kewangan 1977.
  • Tujuan utama MASB ditubuhkan adalah untuk menyemak dan memperbaiki piawaian perakaunan yang sedia ada dan memastikan bahawa penyediaan laporan kewangan mengikut amalan-amalan perakaunan piawai yang diakui dan diluluskan oleh MASB sendiri.
  • MASB melaksanakan tugas sebagai penasihat awam.
  • Selain ituMASB bertanggungjawab menentukan kehendak-kehendak minimum dan garis panduan untuk penyediaan laporan kewangan di Malaysia.

Sumber rujukan: Tan Siew Lian (2009)
 

Blogger news

Blogroll